SEMALAM ADALAH SEJARAH, HARI INI ADALAH REALITI, DAN ESOK ADALAH IMPIAN....
Asal Usul Parti Komunis Malaya 
                                               
Komunisme yang dicetuskan oleh Karl Marx di Eropah pada pertengahan abad ke-19, merebak dengan pesat ke negara lain seperti Russia dan China sebelum tiba di Tanah Melayu pada tahun 1920-an. 


Ajen komunis yang begitu aktif berjaya menanamkan ideologi tersebut kepada rakyat Tanah Melayu khasnya kaum Cina dan PKM yang ketika itu adalah cabang Parti Komunis China, ditubuhkan pada tahun 1930 di Tanah Melayu. 


Pada tahun 1934 seramai hampir 10,000 kaum Cina di Tanah Melayu telah menyertai PKM. Chin Peng menyertai PKM pada tahun 1940 semasa baru saja berumur 18 tahun. 


Menjelang pendaratan tentera Jepun di Singapura, Tentera British yang menyedari PKM adalah anti-Jepun, telah mula melatih secara intensif seramai 165 anggota sayap bersenjata PKM dalam ilmu perang gerila di 101 Special Training School, di Tanjong Balai dekat muara Sungai Jurung di Singapura pada tahun 1941. 


Di samping latihan perang gerila khasnya cara melancarkan serang hendap, anggota sayap bersenjata PKM juga dibekalkan dengan senjata, peluru, bahan letupan, peralatan radio, bahan makanan dan kewangan untuk bekalan selama tiga bulan. 


Pada 3 Januari 1942, tentera British juga telah menubuhkan satu lagi pusat latihan gerila untuk sayap bersenjata PKM di 102 Special Training School di Sekolah Cina Chunjin di Kuala Lumpur.


Semasa Tanah Melayu di bawah pemerintahan tentera Jepun, sayap bersenjata PKM yang menentang tentera Jepun dalam pasukan Malayan Peoples Anti- Japanese Army (MPAJA), terus dibekalkan oleh tentera British yang berpengkalan di Ceylon (kini Sri Lanka) dan India, dengan senjata, peluru, bahan letupan, peralatan perang, makanan, peralatan radio wireles dan kewangan. 


Semua bekalan dihantar oleh tentera British kepada gerila Komunis MPAJA melalui kapal selam dan pengguguran dengan payung terjun. 


Setelah tentera Jepun kalah perang, tentera British yang telah kembali ke Tanah Melayu, telah meminta anggota MPAJA untuk meletak senjata dan memulangkan semula semua senjata, peluru, bahan letupan dan peralatan radio wireless. 


Sayap bersenjata PKM enggan meletakkan senjata serta enggan memulangkan semua senjata, peluru, bahan letupan serta peralatan wireless radio dan bermulalah penentangan PKM terhadap tentera British di Tanah Melayu. 


PKM yang ketika itu dipimpin oleh Chin Peng sebagai Setiausaha Agung, memulakan penentangan bersenjata terhadap tentera British di Tanah Melayu pada tahun 1948 berakhir selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan iaitu hingga tahun 1960. Konfrontasi tamat pada tahun 1966 dan tentera British berundur dari Malysia pada tahun 1967. Selepas itu PKM yang merasakan ketiadaan tentera British akan melemahkan pasukan keselamatan negara, meneruskan penentangan bersenjata terhadap kerajaan Persekutuan Malaysia mulai tahun 1968 hingga tahun 1989.


'Bintang Tiga Berkuasa Selama 14 hari di Tanah Melayu
                                         
Peristiwa 14 Hari. Sebenarnya Bintang Tiga tidaklah berkuasa di seluruh Tanah Melayu selama 14 hari selepas tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945.


Mereka hanya berkuasa selama itu di beberapa bandar dan pekan dalam daerah tertentu di mana pasukan Force 136 tidak beroperasi. Di beberapa bandar, pekan dan daerah lain seperti Muar dan Batu Pahat di Johor dan Daerah Parit di Perak, kuasa Bintang Tiga terhad kerana kebangkitan orang Melayu yang menentang mereka. 


Sejurus selepas tentera Jepun mengaku kalah, pengganas Bintang Tiga merayakan tamat perang dan kemenangan dalam perjuangan menentang tentera Jepun dengan mengadakan perbarisan kemenangan di beberapa bandar di Tanah Melayu. 


Mereka telah mengadakan perbarisan kemenangan di Johor Bahru, Johor dan Pekan Keruh (kini Pengkalan Hulu) di Hulu Perak. 


Rancangan Bintang Tiga untuk mengadakan perbarisan kemenangan di Alor Setar, Kedah digagalkan oleh kehadiran Pasukan Force 136 yang berjaya mengambilalih kuasa daripada tentera Jepun.


Sebelum itu gerila Bintang Tiga sempat menyerang Balai Polis Alor Janggus, sebuah pekan kecil enam batu dari Alor Setar, menahan beberapa anggota polis dan merampas beberapa senjata. Di Balai Polis Kuala Nerang, percubaan pengganas komunis Bintang Tiga untuk merampas senjata telah dipatahkan oleh Pasukan Force 136 yang diketuai oleh Leftenan Tengku Osman Jewa (anak watan pertama sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera ). 


Di Bandar Raub dan Kuala Lipis, Pahang, pengganas Bintang Tiga gagal berkuasa. Pasukan Force 136 dan Gerila Wataniah Pahang secara serentak memasuki kedua-dua bandar untuk mengambilalih kuasa daripada tentera Jepun pada 3 September 1945, sehari selepas Jeneral Douglas MacArthur menandatangani Perjanjian Jepun Menyerah Kalah dan tamat Perang Dunia Kedua di Timur Jauh pada 2 September 1945. 


Gerila Wataniah Pahang yang menyertai Force 136 Melayu, ketika itu di bawah Mejar Yeop Mahidin bin Mohd Sharif, yang hanya dikenali dengan gelaran Singa oleh tentera Jepun, bersama pegawai British, Lt Col Douglas Richardson yang dikenali dengan nama samaran Kiwi. 


Sementara itu di Bandar Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping, gerila Bintang Tiga tidak dapat berkuasa kerana Markas Force 136 Perak yang terletak di Istana Kuning Bukit Chandan telah menghantar anggota Force 136 untuk mengawal ketiga-tiga bandar daripada pengaruh pengganas komunis sementara menunggu kedatangan British Military Administration.


Pegawai Perhubungan Force 136 di Kuala Kangsar, Perak, ketika itu ialah Leftenan Raja Lope Nor Rashid bin Raja Abdul Rahman (Rekrut No:25 yang menjadi anak Melayu pertama memakai pangkat Brigedier Jeneral ).


Di beberapa negeri, daerah dan bandar yang dikuasai oleh Bintang Tiga selama empat belas hari, ribuan rakyat khasnya orang Melayu telah menjadi mangsa keganasan dan kekejaman pengganas komunis. 


Tanpa bukti yang nyata serta memakai Law Of The Jungle hukuman rimba, pengganas komunis Bintang Tiga di bawah kuasa Chin Peng, telah menyeksa mangsa dengan kejam sebelum mereka dibunuh samada ditembak atau ditikam dengan pisau atau benet. 


Mayat mereka rata-rata dibuang dalam sungai atau ditinggalkan dalam hutan dimakan binatang buas dan ramai mangsa yang diculik tidak dijumpai hingga hari ini, tidak diketahui samada hidup atau mati.



Darurat diisytiharkan di Tanah Melayu
                                                 


Semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948, pihak British telah mengenepikan PKM. 


Setelah usaha untuk menubuhkan sebuah kerajaan komunis menerusi pendekatan politik gagal, PKM merubah strategi kepada pendekatan keganasan. 


PKM mula melakukan keganasan terhadap rakyat yang tidak menyokong pergerakan mereka. 


Dalam pada itu PKM juga cuba mensabotaj ekonomi Tanah Melayu, memusnah ladang getah dengan menakik ribuan pokok getah, membakar rumah asap dan gudang getah serta menakut-nakutkan penoreh getah supaya tidak turun menoreh. 


Akibat pembunuhan tiga pengurus ladang getah berbangsa Inggeris di Perak oleh pengganas komunis, maka kerajaan Inggeris di Tanah Melayu telah mengharamkam PKM dan mengisytiharkan darurat pada tahun 1948 dan hanya tamat pada tahun 1960 selepas PKM berundur melintas sempadan mencari perlindungan di Selatan Thailand. Darurat di Tanah Melayu menyaksikan ribuan peristiwa keganasan dan kekejaman pengganas komunis yang dipimpin oleh Chin Peng.


Ribuan anggota pasukan keselamatan dan orang awam terbunuh dan ramai lagi yang cedera dan teraniaya. Ramai pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan turut terbunuh, antara mereka ialah Pesuruhjaya Tinggi British Sir Henry Gurney dibunuh komunis pada 1951, Ketua Polis Negara Allahyarham Tan Sri Rahman Hashim dibunuh ajen komunis di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, pada 7 Jun 1974 dan pada 13 November 1975 pula, Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong. Keganasan dan Kekejaman PKM


Di sepanjang Era Darurat 1948 hingga 1960 dan Era Kebangkitan Kedua PKM 1968 hingga 1989, pengganas komunis melakukan keganasan dan kekejaman dari utara hingga ke selatan Semananjung Tanah Melayu serta di Sarawak. 


Seramai 2,083 anggota pasukan keselamatan terkorban dan seramai 3,541 lagi cedera termasuk cedera kekal seperti putus kaki dan tangan di tembak atau terkena jerangkap samar. 


Sementara itu seramai 2,588 orang awam turut terkorban dan seramai 1,490 lagi cedera oleh angkara pengganas komunis. Bagi menunjukkan kebangkitan semula PKM, pengganas komunis telah menyerang hendap sebuah konvoi pasukan keselamatan di jalan Kroh-Betong pada 17 Jun 1968. 


Seramai 17 anggota pasukan keselamatan telah terbunuh. Untuk mengabuli mata pasukan keselamatan dengan memberi gambaran bahawa PKM hanya aktif di kawasan sempadan, pengganas komunis telah melakukan serang hendap di Sintok, Kedah, memasang jerangkap samar di jalan Changlun-Sadao serta meletupkan jalan kereta api dekat Padang Besar. 


Bagaimanapun, pertempuran di Hutan Sinpan Bukit Kinta di Perak telah membuktikan bahawa PKM sudah jauh melintas sempadan. 


Antara keganasan terawal yang dilakukan oleh pengganas komunis terhadap penduduk kampung berlaku di Kampung Layang-Layang Kiri, Parit, Perak pada tahun 1946 ketika PKM mula mencari rekrut baru di kalangan penduduk Melayu. 


Oleh sebab orang Melayu tidak mahu menerima propaganda PKM yang cuba menegakkan pergerakan mereka sebagai memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan British, tambahan pula fahaman komunis yang anti Islam, pengganas komunis telah membunuh seramai 14 penduduk Kampung Layang-Layang Kiri serta menculik seramai 11 lagi anggota keluarga Kamaluddin Noh. 


Mayat mereka yang dibunuh dijumpai dalam Sungai Perak dekat Kampung Layang-Layang Kiri sementara mereka yang diculik hingga kini tidak diketahui samaada hidup atau mati.


Dalam satu lagi keganasan pengganas komunis ketika Peristiwa 14 Hari berlaku di Kampung Perigi Jernih pada September 1945. Seorang penduduk kampung, Abdul Karim Bidin diseret daripada rumahnya pada jam 4 pagi, dibawa ke jalan kereta api dekat kampung dan kemudiannya ditembak serta ditikam sampai mati. Ramai lagi penduduk Kampung Perigi Jernih turut menjadi mangsa keganasan gerila Bintang Tiga ketika itu.


Dalam tahun 1945,ketika pengganas komunis berpengkalan dekat Klian Intan dekat Kroh, Hulu Perak, gerila Bintang Tiga telah membakar banyak rumah penduduk kampung yang enggan menyokong pergerakan mereka. 


Rumah di kampungkampung seperti Bukit Buluh, Malau, Kubang, Kuala Kenering, Sungai Terap, Kampung Chua dan Kampung Beko telah dibakar hangus. 


Di Kampung Chepor dan Bukit Sapi, Lenggong, beberapa penduduk kampung yang enggan bekerjasama dengan komunis, telah diikat pada tiang seri dan dibakar bersama rumah mereka. 


Satu lagi peristiwa keganasan pengganas PKM berlaku kepada orang kampung dekat Junjung, Kulim, Kedah di mana seorang penduduk telah dibakar hidup-hidup dengan tangannya terikat pada stering lorinya. 


Di Batu Pahat, pengganas komunis telah membunuh dan menyeksa ramai penduduk Melayu kerana membalas dendam. Mereka menuduh penduduk Melayu bersubahat dengan tentera Jepun hingga ramai penduduk kaum Cina dibunuh oleh tentera Jepun.


Pengganas Bintang Tiga yang berpengkalan di hutan dekat Bukit Pasir telah bertindak kejam dengan membunuh Pegawai Daerah Batu Pahat, Ismail bin Dato Abdullah. Akibat tindakan pengganas komunis penduduk Melayu Batu Pahat telah bangkit menentang pengganas komunis serta penyokong mereka iaitu kaum Cina.


Pemimpin penduduk Melayu ketika itu ialah Kiai Salleh yang pernah menjadi Penghulu Mukim Simpang Kiri, Batu Pahat. Dalam satu peristiwa keganasan pengganas komunis dilakukan oleh pengganas komunis yang dipimpin oleh orang Melayu bernama Khidzir, terhadap penduduk Kampung Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan, pada 5 Januari 1950. Khidzir bersama 15 pengganas komunis yang lengkap bersenjata, yang kebanyakannya adalah pengganas bangsa Cina, telah datang ke Kampung Chenah (Kenaboi) untuk menangkap seorang penduduk bernama Bahadun. 


Bahadun adalah menantu kepada Ketua Kampung Chenah, Abdul Aziz bin Dato Abdullah, yang juga Penolong Penghulu Mukim Kenaboi. Ketika menghalang pengganas komunis daripada menangkap Bahadun, berlaku bergaduhan dan Ketua Kampung Abdul Aziz sempat menendang dada Khidzir yang cuba menggunakan pistol. 


Oleh kerana pengganas komunis terlalu ramai, akhirnya Ketua Kampung Abdul Aziz bersama Bahadun dan seorang lagi penduduk yang turut melawan, telah dapat ditangkap. 


Mereka bertiga telah diseret ke jambatan masuk ke Kampung Chenah dan diikat dekat kepala jambatan.


Badan mereka bertiga telah dikelarkelar oleh pengganas komunis dan dicurah dengan air garam. Setelah puas diseksa dengan kejam, pengganas komunis telah menembak mereka bertiga hingga mati. 


Sebenarnya terlalu banyak kejadian keganasan dan kekejaman yang dilakukan oleh pengganas komunis terhadap penduduk awam untuk diceritakan.


Mungkin seratus buah buku tidak cukup untuk menceritakan segalanya. 


Terlalu ramai yang menjadi mangsa keganasan dan kekejaman gerila PKM di bumi Malaysia yang hingga kini masih menderita.


Isteri, anak dan saudara mereka yang terkorban oleh keganasan dan kekejaman komunis hingga kini masih merasai kehilangan orang tersayang.